1. HALA TUJU PENDIDIKAN MALAYSIA ERA MASYARAKAT MELAYU TRADISIONAL

  

HALA TUJU PENDIDIKAN MALAYSIA ERA MASYARAKAT MELAYU TRADISIONAL  

Oleh: Muhammad Haziq bin Shaharuddin (D20201094457)


DARI ASPEK PEMBANGUNAN INSAN DAN MASYARAKAT


        Pendidikan yang kita nikmati pada hari ini adalah kesan perkembangan pendidikan di malaysia yang bermula dari zaman masyarakat melayu tradisional, era penjajahan, era kemerdekaan sehingga era masa kini. Pelbagai bentuk pendidikan yang diperkenalkan. Setiap pendidikan pada setiap zaman mempunyai hala tuju tersendiri. Namun dalam penulisan ini, saya akan fokuskan berkaitan hala tuju pendidikan semasa era masyarakat melayu tradisional dari aspek pembangunan insan dan masyarakat.

 

1.0       Pengenalan Pendidikan Masyarakat Melayu Tradisional

 

Era masyarakat melayu tradisional adalah masyarakat Tanah Melayu sebelum tahun 1511. Pada zaman ini, pendidikan tertumpu untuk kelangsungan hidup kerana masyarakat perlu memburu, bertani, bertukang dan menjadi nelayan. Ia juga tertumpu pada perbezaan gender dan status sosial masyarakat. Selain itu, pendidikan agama Islam turut diperkembangkan. Kurikulum dari aspek Fardu Ain dan Fardu Kifayah adalah bersumberkan Al-Quran, Sunnah dan kitab-kitab yang dibawa daripada negara Arab dan Mesir.

 

2.0       Bentuk Pendidikan

 

Pendidikan era masyarakat tradisional diajar oleh ibu bapa, ahli keluarga dan masyarakat sekeliling. Era ini merupakan salah satu bentuk pendidikan yang berkisar kepada pembelajaran secara turun-temurun yang diwariskan kepada genarasi seterusnya. Ibu bapa khususnya memberi tunjuk ajar berdasarkan kemahiran yang dimiliki oleh mereka. bentuk pendidikan yang diberi banyak berbentuk informal. Pembangunan insan berdasarkan proses pembelajaran untuk melahirkan insan yang berkemahiran, berkebolehan dalam aspek teknik dan praktikal.

 Selain itu, Perkembangan pendidikan pada era ini juga telah menghasilkan Sekolah Pondok dan Madrasah untuk mempelajari bidang ilmu yang lebih luas. Pendidikan bentuk ini adalah lebih sistematik dan tersusun kerana mempunyai sukatan dan rujukan kitab. Pembelajaran yang diajar berteraskan kepada agama Islam seperti Tauhid, Akidah dan Akhlak. Intitusi pendidikan berpaksikan kepada falsafah pendidikan Islam ini mampu melahirkan masyarakat yang menjiwai agama pada setiap masa dan mengaplikasinya dalam kehidupan seharian.

 

3.0       Hala Tuju Pendidikan

 

3.1       Pembangunan Insan

           

            Dalam pendidikan tradisional masyarakat melayu, ibu bapa, ahli keluarga dan masyarakat memainkan peranan penting dalam mendidik anak-anak muda dalam membangunkan sifat insani serta melengkapkan dengan pelbagai kemahiran hidup. Metod pengajaran yang diguna pakai adalah seperti memberi nasihat, menunjukkan contoh teladan atau melalui cerita-cerita hikayat. Antara pengisian dalam pendidikan ini termasuklah dari sudut akhlak. Anak-anak muda dididik untuk sentiasa menjaga etika, budi bahasa dan adab sopan khususnya adat-adat ketimuran. Selain itu, mereka juga diberi pengisian dalam bentuk keselamatan seperti ilmu pertahanan diri atau ilmu persilatan. Ilmu ini sangat penting bagi menjamin keselamatan diri, keluarga dan kerajaan daripada segala ancaman seperti binatang buas dan musuh. Selanjutnya, pengisian yang ketiga ialah dari sudut ekonomi. Anak-anak juga dipersiapkan dengan ilmu ekonomi seperti ilmu pertukangan, pertanian, perniagaan dan pelayaran. Justeru, pendidikan ini adalah bertuuan untuk membina kemahiran untuk kelangsungan hidup serta menanam nilai-nilai murni dalam diri anak-anak.

            Selain itu, ilmu agama islam juga diajarkan bagi membina jati diri yang kukuh dalam diri anak-anak. Ilmu-ilmu ini banyak disampaikan oleh ibu bapa sendiri, tuan guru, pedagang dan pendakwah Islam yang  berasal dari timur tengah. Antara pengisiannya termasuklah pengajaran berkaitan ilmu fardu ain dan fardu kifayah yang bersumberkan Al-Quran, Sunnah dan kitab-kitab Arab. Pengajian yang disediakan adalah berkaitan pengajian Al-Quran, Hadis, Fiqh, Tauhid dan Tasawwuf. Pendidikan akhlak juga turut ditekankan seperti pengajian berkaitan akhlak Rasulullah dan peribadi seorang muslim. Ia dijalankan pada waktu petang dan malam sama ada di istana, madrasah, pondok, atau masjid. Dapatlah disimpulkan di sini bahawa pendidikan agama ini dapat memupuk pembangunan insan dari sudut rohani dan akhlak.

 

 

 

3.2       Masyarakat

 

            Pendidikan ini adalah bertujuan untuk membentuk masyarakat yang bersatu padu, aman dan harmoni. Hal ini bekait rapat dengan pendidikan yang dinyatakan di atas. Sifat insani seperti saling menghormati antara satu sama lain dan saling menolong dapat memupuk keharmonian dalam kalangan masyarakat. Walaupun terdapat pelbagai keturunan masyarakat melayu seperti melayu, bugis dan jawa di samping ada masyarakat cina dan india, mereka masih dapat hidup dengan harmoni disebabkan nilai murni yang disemai dan dididik sejak kecil.

 

4.0       Kesimpulan

 

            Kesimpulannya, pendidikan Malaysia semasa era masyarakat melayu tradisional berbentuk pendidikan untuk membangunkan sifat insani dari sudut luaran mahu pun dalaman anak-anak. Walaupun ia tidak mempunyai sistem yang tersusun seperti pendidikan masa kini, namun kandungan dan matlamat pendidikan masa tersebut mampu dipupuk dan diterapkan dengan sangat berkesan. Masyarakat hidup dengan penuh budi bahasa, kesopan santunan serta mampu hidup dengan harmoni walau mempunyai latar belakang dan keturunan berbeza. Di samping itu, kemahira-kemahiran yang diajarkan turut diamalkan dengan bersungguh-sungguh sehingga Melaka menjadi pusat perdagangan dan pelabuhan yang terkenal suatu masa dahulu. Oleh itu, marilah sama-sama kita mengekalkan nilai-nilai murni yang diajarkan sejak dahulu serta berusaha mengamalkan segala ilmu yang kita pelajari.

Comments